"KEIMANAN, KEJUJURAN, SEMANGAT dan TINDAKAN merupakan ciri-ciri utama bagi pengertian 'kepemudaan'" (as-Syahid al-Imam Hasan al-Banna)

Sunday 11 December 2011

Negara Berkebajikan: PAS mahu rakyat jadi tuan

SHAH ALAM, 11 Dis: Konsep Negara Berkebajikan yang ditawarkan PAS adalah memperjuangkan hak rakyat di mana rakyat adalah tuan, manakala kerajaan pula hanya bertindak sebagai pemegang amanah kepada wang rakyat.

Bercakap sewaktu melancarkan buku 'Negara Berkebajikan: Tawaran PAS' di perkarangan Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini,  Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan konsep yang mahu dibawa PAS itu mengikut panduan yang ditetapkan dalam al-Quran.

"Kita ingin mengubah konsep sekarang yang mana kerajaan menjadikan rakyat sebagai bahan untuk diniagakan, segala sumber pendapatan negara diambil melalui rakyat mengikut cukai-cukai yang ditetapkan.

"Kerajaan adalah khadam kepada rakyat, pemimpin adalah pemegang amanah jadi kita mahu hak rakyat dikembalikan mengikut saluran yang betul," katanya.

Buku setebal 59 muka surat itu menggariskan tentang konsep, polisi dan agenda yang akan ditawarkan oleh parti itu bersama Pakatan Rakyat sekiranya diberi peluang mentadbir negara.

Dalam bahagian polisi-polisi umum, Negara Berkebajikan akan melihat dan menambahbaik polisi-polisi sedia ada termasuk dalam polisi politik, ekonomi dan sosial.

Dalam pada itu Abdul Hadi memberitahu pentadbiran kerajaan sekarang hanya berkonsepkan 'kekayaan negara berpusing kepada orang tertentu sahaja' sedangkan rakyat terus terseksa.

"Sepatutnya harta kekayaan negara disalurkan kepada rakyat selain digunakan untuk pembangunan negara, malah jika kerajaan ingin mencari sumber pendapatan maka cukai perlu dikenakan tetapi tidak semua rakyat perlu membayar cukai.

"Sebab itulah Pakatan Rakyat ingin memansuhkan terus tol kerana rakyat yang tidak sepatutnya dikenakan cukai juga turut terbeban pembayaran tol, inilah yang dijanjikan di dalam Buku Jingga serta konsep negara berkebajikan," sambungnya lagi.

Ahli Parlimen Marang itu juga menegaskan konsep negara berkebajikan ini juga akan menjadi menifesto pada pilihanraya yang akan datang dan ia selaras dengan kesepakatan di dalam Buku Jingga.

Tawar 10 agenda

Dalam buku itu juga, PAS memperincikan 10 agenda yang ditawarkan PAS yang menyentuh kerajaan beramanah, adil dan bersih, masyarakat penyayang, aman dan bersatu, serta ekonomi mampan, seimbang dan saksama.

Selain itu, Abdul Hadi yang menyentuh mengenai pendidikan berkualiti, perkhidmatan kesihatan yang cekap dan berkualiti, kebajikan langsung, menyeluruh dan mesra rakyat serta keluarga harmoni, bahagia dan bermoral.

Abdul Hadi yang juga ahli parlimen Marang turut menghuraikan mengenai belia dan pekerja produktif, kemudahan prasarana berkualiti serta pemeliharaan alam sekitar.

Buku ini juga merupakan penjelasan kepada buku pertama yang ditulis Abdul Hadi sendiri yang bertajuk "Konsep Asas Negara Berkebajikan" yang telah dilancar sebelum ini.

Kedua-dua buku tersebut adalah susulan daripada ucapan dasar yang dibentangkannya dalam Muktamar Tahunan PAS ke-57 Jun lalu yang bertemakan "Membangun Negara Berkebajikan".

"Mudah-mudahan ia akan jadi pemangkin kepada rakyat untuk menyokong PAS dan Pakatan Rakyat pada pilihanraya nanti.

"Jika rakyat menilai secara jelas negara kebajikan ini maka ia akan melancarkan laluan Pakatan Rakyat ke Putrajaya nanti," kata Abdul Hadi.
Baca Seterusnya >>

Contohi semangat 'Angry Birds', lawan kezaliman





KUALA LUMPUR, 11 Dis: Dewan Pemuda PAS Pusat menyeru seluruh rakyat negara ini mencontohi semangat juang burung-burung yang menentang pencuri dalam permainan Angry Birds.

Dalam satu kenyataan sempena ulangtahun kedua Angry Birds, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hasan menyifatkan Angry Birds sebagai permainan yang mengajar rakyat agar bangkit berjuang menghapuskan kezaliman.

"Slogan ‘Jangan Curi !!’ dalam permainan itu adalah simbol kemarahan rakyat terhadap empat pengkhianatan pemimpin terhadap rakyat di Malaysia.

"Ianya adalah penafian hak rakyat Kelantan terhadap royalti petroleum, penyelewengan Felda dan langkah penyenaraian Felda Global Ventures yang menggadai nasib peneroka, keraguan daftar pemilih oleh SPR sebagaimana didedahkan oleh Pemuda PAS dan kontroversi projek National Feedlot Centre bernilai RM250 juta sebagaimana dilapor Ketua Auditor Negara", katanya kepada Harakahdaily.

Sementara itu, Pengarah Institut Polisi Studi dewan itu, Mohd Syahir Sulaiman pula berkata, rakyat negara ini wajar mengambil semangat sama demi menentang budaya korupsi dan pecah amanah di kalangan pemimpin negara.

Angry Birds katanya memberi inspirasi perjuangan mempertahankan hak dengan semangat yang ditunjjukan secara kreatif dan penuh tekad berusaha untuk mendapatkan kembali telur mereka yang dicuri. 

"Pada setiap peringkat, Angry Birds perlu meningkatkan keupayaan untuk memecahkan tembok dan helah oleh si pencuri untuk berselindung. 

"Ini mengajar kita tiga perkara iaitu; rakyat perlu bangkit menentang kezaliman, pencuri akan ditentang dan pihak yang benar pasti akan mengalahkan pihak yang salah”," katanya.

Media sebelum ini melaporkan ‘Angry Birds’ adalah salah satu daripada carian Google paling popular di kalangan rakyat Malaysia, yang berjaya memecah rekod tertinggi di dalam sejarah permainan video dengan jumlah muat turun melebihi 500 juta, hasil idea permainan yang santai, interaktif, dan mempunyai makna tersendiri.
Baca Seterusnya >>
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Pemuda Pandan Copyright © 2009 Premium Blogger Dashboard Designed by SAER