"KEIMANAN, KEJUJURAN, SEMANGAT dan TINDAKAN merupakan ciri-ciri utama bagi pengertian 'kepemudaan'" (as-Syahid al-Imam Hasan al-Banna)

Tuesday 29 November 2011

TPM CETEK PEMIKIRAN

KENYATAAN AKHBAR JABATAN PILIHANRAYA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

TPM CETEK PEMIKIRAN

 Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia merasa cukup sedih dan kecewa di atas ucapan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sama sekali tidak menunjukkan beliau selaku orang 2 negara yang mempunyai daya fikir Intelek yang tinggi dan budi bahasa yang baik. Semasa merasmikan serentak Persidangan Tahunan Putri, Pemuda dan Wanita UMNO, beliau meneruskan perseteruan terhadap Pakatan Rakyat dan PAS secara khususnya dengan alasan yang berbentuk fitnah dan dangkal. 

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia ingin mengingatkan UMNO bahawa keangkuhan mereka sebagai parti yang tiada galang ganti untuk meneruskan agenda perjuangan bangsa Melayu sudah lapuk ditelan zaman kerana PAS sudah bersedia untuk memimpin bangsa Melayu ke arah suasana politik yang lebih kondusif bahkan lebih lagi PAS menawarkan perjuangan bangsa Melayu menurut ajaran Islam yang syumul. PAS akan menggantikan UMNO untuk membela nasib bangsa Melayu yang selama ini menjadi mangsa ‘belasahan’ UMNO. Jadi UMNO sememangnya berada di dalam keadaan cukup terdesak kerana PAS dan Pakatan Rakyat semakin mendapat tempat di hati rakyat untuk memerintah negara ini.

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia berpendapat bahawa cabaran Timbalan Perdana Menteri kepada para Putri, Pemuda dan Wanita UMNO untuk menjadi mujahid dan mujahidah yang akan berjihad untuk mempertahankan bangsa Melayu di dalam Pilihanraya Umum yang akan datang adalah sebuah lelucon yang amat menggelikan hati. UMNO sebagai sebuah parti sekular yang memisahkan agama di dalam agenda perjuangan politik mereka sanggup menggunakan istilah-istilah Islamik supaya nampak agenda Islam mereka tetapi sebaliknya bersifat munafik semata-mata. Sepatutnya jihad yang utama adalah menegakkan hukum Syariat Allah Taala di atas muka bumi ini dan bukannya berjihad di atas nama bangsa.    

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia turut mengingatkan kepada seluruh jentera pemuda di semua peringkat supaya meningkatkan kewaspadaan dan kebersediaan untuk menghadapi pilihanraya yang mendatang. Kenyataan Datuk Seri Najib bahawa pilihanraya ke 13 akan datang ini akan menjadi sesuatu yang ‘luar biasa’ menunjukkan UMNO dan Barisan Nasional akan melakukan strategi yang ‘kotor dan hina’ untuk memastikan kemenangan berada di pihak mereka.

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia melihat UMNO kini semakin gawat dan tidak keruan, tidak mustahil sepanjang perhimpunan Agung UMNO ini akan menjadi perhimpunan yang akan dipenuhi dengan segala macam kenyataan-kenyataan yang bersifat hasutan, ancaman, tuduhan, prejudis, rasis dan sebagainya. Oleh itu, Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia meminta supaya rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan keadilan menolak secara total parti UMNO dan Barisan Nasional kerana pembawaan politik sempit mereka sudah tidak diterima lagi oleh rakyat. Selain itu Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia mengarahkan jentera pemuda di semua peringkat untuk membuat laporan polis di atas kenyataan Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Penerangan UMNO yang bersifat menghasut dan menimbulkan kebencian orang Melayu untuk terhadap orang-orang bukan Melayu dan orang-orang yang bukan beragama Islam.  

MOHD SANY BIN HAMZAN
PENGARAH PILIHANRAYA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

30 November 2011
Baca Seterusnya >>

KETUA PENERANGAN UMNO BERFIKIRAN SEMPIT

KENYATAAN AKHBAR DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR

KETUA PENERANGAN UMNO BERFIKIRAN SEMPIT

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menyelar kenyataan rasis dan dangkal Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan terhadap Pakatan Rakyat sekiranya Pakatan Rakyat diberikan kemenangan kerusi yang lebih oleh rakyat pada Pilihanraya Umum yang akan datang. Datuk Ahmad Maslan mengancam orang Melayu dengan mengatakan Parlimen Malaysia akan “tergantung” seperti Parlimen Australia kerana Barisan Nasional tidak dapat  melaksanakan polisi negara kerana hanya mendapat majoriti mudah sahaja.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor turut mengecam kenyataan dan sangkaan buruk Datuk Ahmad Maslan terhadap kerjasama yang terjalin utuh oleh parti-parti di dalam Pakatan Rakyat dan sokongan bukan Islam kepada PAS dan Pakatan Rakyat.
  
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merasa cukup kesal kerana UMNO masih berterusan memainkan sentimen agama dan perkauman hanya untuk menarik kembali sokongan rakyat kepada mereka. Sepatutnya UMNO mengambil kesempatan sempena Perhimpunan Agong UMNO kali ini untuk melakarkan kaedah baru untuk menarik sokongan pengundi Melayu dengan tidak menjaja lagi politik perkauman dan perpecahan.

Sememangnya UMNO kini semakin dihimpit kegelisahan dan kegusaran disebabkan kerosakan-kerosakan yang telah mereka lakukan terhadap negara dan rakyat sehingga menyebabkan rakyat kini semakin berani untuk bangkit melakukan perubahan. Rakyat semakin muak dan mual dengan agenda politik perkauman dan perpecahan yang didendangkan oleh UMNO dan Barisan Nasional.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merasakan orang Melayu tidak perlu gusar terhadap kemampuan PAS dan Pakatan Rakyat untuk menggantikan UMNO dan Barisan Nasional kerana PAS dan Pakatan Rakyat telah bersetuju sebulat suara untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan seadanya. Selain itu, Ahli Parlimen Pakatan Rakyat mempunyai komitmen yang lebih tinggi untuk memperjuangkan agenda rakyat dan memperbaiki kehidupan rakyat berbanding perjuangan UMNO/BN.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan semoga pihak Polis Diraja Malaysia akan melakukan siasatan dan mengambil tindakan ke atas kenyataan Datuk Ahmad Maslan di dalam http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/umno-dakwa-melayu-akan-hilang-semua-kuasa-jika-parlimen-gantung/ kerana cukup berbahaya dan boleh menanamkan bibit-bibit kebencian serta prejudis terhadap Pakatan Rakyat serta ketegangan hubungan antara kaum dan agama di dalam negara ini.


USTAZ HASBULLAH MOHD RIDZWAN
KETUA PEMUDA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR



29  November 2011
Baca Seterusnya >>

PEMUDA SOKONG BANTAHAN RUU PERHIMPUNAN AMAN 2011

KENYATAAN AKHBAR JABATAN PILIHANRAYA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

PEMUDA SOKONG BANTAHAN RUU PERHIMPUNAN AMAN 2011


Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia merakamkan ucapan Tahniah dan Syabas kepada Majlis Peguam Malaysia, Kumpulan Aktivis Occupy yang dipelopori oleh Dewan Perhimpunan Rakyat KL dan Persatuan Dayak Iban Serawak, sebuah NGO di Kuching yang telah melakukan bantahan secara serius terhadap Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 yang akan dibentang untuk bacaan kali ke 2 dan dibahaskan di Parlimen pada hari ini.
Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia juga menyelar sikap UMNO/BN selaku Kerajaan Persekutuan yang telah membohongi rakyat apabila berjanji untuk memberikan lebih kebebasan kepada rakyat Malaysia untuk menzahirkan perbezaan ideologi politik dan melaksanakan perhimpunan aman dengan memansuhkan ISA. YAB Perdana Menteri sendiri menyatakan bahawa rang undang-undang baru yang akan menggantikan ISA akan lebih mesra rakyat tetapi yang berlaku kini adalah sebaliknya.
Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia merasakan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 yang dicadangkan oleh pihak Kerajaan ini adalah lebih kejam dan zalim daripada ISA kerana lebih menjerut kebebasan dan hak asasi manusia kepada rakyat Malaysia. Seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keadilan dan keamanan perlu melahirkan sokongan terhadap usaha untuk membantah dan memprotes cadangan Rang Undang-Undang perhimpunan Aman 2011 ini.
Oleh itu, Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia menyatakan sokongan penuh terhadap sebarang usaha mana-mana pihak untuk membantah dan memboikot Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 nanti.

MOHD SANY BIN HAMZAN
PENGARAH PILIHANRAYA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

29 November 2011
Baca Seterusnya >>
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Pemuda Pandan Copyright © 2009 Premium Blogger Dashboard Designed by SAER