"KEIMANAN, KEJUJURAN, SEMANGAT dan TINDAKAN merupakan ciri-ciri utama bagi pengertian 'kepemudaan'" (as-Syahid al-Imam Hasan al-Banna)

Friday 23 December 2011

BENDERA NAJIB LEBIH MULIA DARIPADA HUKUM ALLAH?


KENYATAAN AKHBAR DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR

BENDERA NAJIB LEBIH MULIA DARIPADA HUKUM ALLAH?

DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR berasa lucu dengan tindakan ‘kebudak-budakan’ dan tidak bertamadun puak-puak Umno dan rakan sekutu mereka seperti Perkasa, GPMS, Majlis Belia dan lain-lain yang berterusan mengecam dan mengancam Adam Adli kerana menurunkan bendera bergambar Najib baru-baru ini.

Umno kini sudah kehilangan arah perjuangan yang sebenar sehingga terlalu memuliakan pemimpin mereka sehingga ke tahap yang tidak sepatutnya. Adalah bendera bergambar Najib lebih mulia dan perlu diagungkan daripada menegakkan hukum Allah Taala? Apakah tindakan mengecam dan mengancam Adam Adli secara berterusan lebih mulia daripada kenyataan biadap pemimpin Umno yang secara jelas menghina hukum Allah Taala? Adakah tindakan meminta permohonan maaf Adam Adli lebih diutamakan atau penipuan dan kezaliman Umno terhadap rakyat yang perlu dihentikan? Apakah tindakan Adam Adli menurunkan gambar Najib terlalu ekstrem sehingga boleh merosakkan aqidah orang-orang Umno?

Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor merasakan Umno kini semakin pelik dan perjuangan parti itu kini hanya untuk mempertahankan individu tertentu sahaja dan bukan untuk rakyat jelata. Jelaslah Umno dan Barisan Nasional kini sudah tidak boleh diharapkan untuk menjaga agama, bangsa dan negara ini apabila rakyat di semua peringkat semakin menolak pendekatan politik dan dasar perjuangan mereka.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengucapkan tahniah kepada adik-adik mahasiswa dan mahasiswi dalam negara ini yang telah bangkit untuk menuntut penghapusan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) serta mempertahankan hak mereka selaku rakyat di dalam negara ini.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga berharap pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak UMNO dan rakan sekutu mereka yang terus-terusan memberi tekanan dan ancaman secara terbuka kepada Adam Adli dan para mahasiswa. Adakah mereka ini ‘kebal’ daripada undang-undang Malaysia sehingga boleh menumbuk dan member ancaman kepada orang lain secara terbuka?




USTAZ HASBULLAH MOHD RIDZWAN
KETUA PEMUDA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR

21 Disember 2011
Baca Seterusnya >>

Wednesday 21 December 2011

‘Tiada niat sebesar zarah untuk sertai Umno’


KUALA LUMPUR, 21 Dis: “Saya tegaskan di sini bahawa saya adalah adalah ahli PAS, dan perjuangan saya kekal bersama PAS untuk menjunjung risalah Islam menyumbang kepada ummah dalam apa juga keadaan,” tegas AJK PAS Pusat, Nasharudin Mat Isa 
“Berikutan beberapa dakwaan, tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan secara langsung oleh beberapa pihak terhadap saya sejak kebelakangan ini menerusi media massa, blog dan laman sosial seperti Facebook dan Twitter, saya berasa perlu untuk mengeluarkan kenyataan media ringkas sebagai penjelasan,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, sebagai seorang yang terdidik dalam dua dunia dan latar belakang berbeza iaitu bukan agama dan kemudiannya berpindah kepada pengajian Syari’ah dan Perbandingan Undang-Undang, beliau menyedari sepenuhnya bahawa pembabitan langsung di pentas politik nasional pasti mengundang seribu satu macam cabaran dan dugaan.
Katanya, dalam dunia dakwah, kita dididik dengan hakikat bahawa laluan dakwah ini tidak dibentang dengan hamparan permaidani merah, jauh sekali untuk sentiasa direnjis dengan wangian bunga.
“Saya akur sepenuhnya dengan Tariqud-Dakwah (Jalan Dakwah) yang saya lalui ketika ini telah lebih awal disusuri oleh para anbiya’, sahabat dan ulamak terdahulu daripada kami yang memilih PAS sebagai pentas perjuangan  politik dalam konteks sistem demokrasi berparlimen sedia ada di Malaysia,” ujarnya yang juga ahli Parlimen Bachok.
Justeru, jelas Nasharudin lagi, dakwaan kononnya beliau ‘terperangkap dalam agenda permainan musuh politik PAS iaitu Umno’ adalah sesuatu yang terlalu jauh menyimpang daripada kebenaran dan langsung tidak berasas.
Menurutnya, sepanjang pembabitannya dalam PAS yang saya terima sebagai wadah menyampaikan suara Islam kepada umat di Malaysia, belum pernah beliau ungkapkan bahawa akan menyertai Umno.
Justeru, ujarnya buat kesekian kalinya beliau menegaskan bahawa tidak mempunyai niat sebesar zarah sekalipun untuk menyertai Umno.
“Janganlah gunakan alasan mudah seperti ini untuk menyimpulkan tindakan, pandangan atau perhitungan politik saya pada ketika kita mengharung gelombang percaturan politik yang jauh lebih mencabar.
“Saya harap penjelasan ringkas ini memadai dalam mengukur kesetiaan saya terhadap perjuangan PAS,” jelasnya lagi.

Baca Seterusnya >>

Thursday 15 December 2011

Pemuda nasihat Hasan Ali jangan tinggalkan PAS



KUALA LUMPUR, 15 Dis: Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan menggesa Exco Kerajaan Selangor Datuk Dr Hasan Ali agar tetap bersama PAS untuk memperjuangkan agama Islam tanpa perlu meninggalkan parti itu.

Katanya, usaha Hasan yang mahu memperjuangkan Islam adalah sesuatu yang baik dan dituntut, namun biarlah perjuangan itu dilakukan bersama jemaah PAS.

"Semalam Utusan tanya saya tentang agenda Dr Hasan nak perjuang Islam. Saya kata usaha itu sesuatu yang baik dan dituntut tapi pada masa sama beliau jangan larikan diri atau tinggalkan jemaah PAS," katanya kepada Harakahdaily

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini yang bertajuk "Pemuda PAS sokong Hasan terus perjuang kepentingan Islam, Melayu walaupun digugur sebagai calon" yang memetik kenyataannya.

Beliau berkata, laporan akhbar Umno itu kurang tepat kerana beliau tidak pernah mengiyakan soal Hasan digugurkan dari senarai calon pilihan raya seperti ditulis pada tajuk kecil laporan itu.

Mengulas soal Hasan digugur atau sebaliknya itu, Nasruddin berkata isu tersebut tidak berbangkit kerana keputusan siapa menjadi calon hanya ditentukan oleh PAS Pusat.

"Dia (Utusan) juga tanya saya soal kenyataan bahawa Hasan akan digugurkan sebagai calon. Saya kata soal calon ini hanya diputuskan oleh PAS Pusat.

"Tidak timbul langsung soal gugur tak gugur sekarang ini sebab PAS pusat belum buat sebarang keputusan pun lagi," katanya.

Harakahdaily
Baca Seterusnya >>

Oley!!



Sebuah filem pendek yang menerangkan hudud secara umum. Filem pendek ini diterbitkan bertujuan untuk menjawab persoalan dan kekeliruan yang ditimbulkan dalam klip video 'Sembang Rakyat' yang bertajuk 'Musim hudud' dan 'Hudud PAS lagi'.Semoga klip video ini dapat memberi manfaat kepada para penonton.Kami sangat mengalukan perkongsian(share) video ini kepada masyarakat.
Baca Seterusnya >>

KERAJAAN ZALIMI GSTT


KENYATAAN AKHBAR DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR

KERAJAAN ZALIMI GSTT

DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR berasa sedih dan kesal di atas tindakan Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Pelajaran Malaysia yang telah menganiayai dan menzalimi seramai lebih kurang 8,000 tenaga Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) dengan penukaran kontrak perkhidmatan baru mereka yang cukup membebankan.

Penukaran baru “Kontrak Khidmat kepada Kontrak untuk Berkhidmat” telah menyebabkan para GSTT terpaksa bertugas pada setiap hari termasuk hari sabtu, ahad dan cuti umum walaupun tiada sesi pembelajaran. Sebarang ketidakhadiran akan menyebabkan gaji mereka dipotong. Kontrak baru ini juga menghendaki para GSTT memulangkan semula perbezaan gaji yang telah diterima sejak bulan Oktober hingga Disember sebanyak RM 3,476 setiap seorang. Selain itu, kontrak baru menafikan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) GSTT terbabit.

Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor cukup kecewa kerana pemakluman kepada para GSTT mengenai penukaran kontrak tersebut adalah pada 10 Nov lalu sedangkan tarikh penguatkuasaan kontrak bermula pada 17 Oktober. Adakah GSTT bukan daripada rakyat Malaysia yang boleh diperlakukan dan diperhambakan sedemikian rupa? Adakah pihak Kerajaan sudah sudah cukup terdesak dan tidak mampu lagi untuk menampung kos penggajian guru-guru disebabkan pembaziran dan pemborosan yang dilakukan selama ini? Bagaimanakah para GSTT boleh memberikan komitmen untuk melaksanakan tugasan secara efisien sekiranya terpaksa bekerja setiap hari dan tidak mendapt rehat yang cukup?  Adakah ini motto ‘’Rakyat Didahulukan” yang sering dilaungkan oleh pihak Kerajaan? “Rakyat Didahulukan” untuk menjadi mangsa akibat kesilapan dan kebebalan pihak Kerajaan Umno dan Barisan Nasional.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor dengan ini mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan Kerajaan di dalam menukarkan kontrak baru kepada GSTT. Oleh itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan supaya kontrak baru GSTT tersebut dapat  dipinda dan pihak Kerajaan dapat menawarkan satu kontrak yang lebih baik dan tidak menzalimi para GSTT. Kontrak baru yang akan lebih berkebajikan kepada para GSTT.




USTAZ HASBULLAH MOHD RIDZWAN
KETUA PEMUDA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR

15 Disember 2011
Baca Seterusnya >>

Monday 12 December 2011

UMNO MASUK UNIVERSITI


KENYATAAN AKHBAR DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR

UMNO MASUK UNIVERSITI

DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR membidas dan menyelar sikap ‘double standard’ Kementerian Pengajian Tinggi dan pentadbiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang telah membenarkan penceramah Umno, Ustaz Fathul Bari yang merupakan Ketua Ulama Muda Umno untuk memberikan ceramah beliau dengan tajuk “Mengapakah Hak Istimewa Bumiputra perlu Dikekalkan” sempena Karnival BE-I UiTM pada 14 Disember 2011. 

Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor cukup berasa kecewa apabila penggunaan kampus-kampus universiti menjadi HALAL apabila sebarang program dan penceramahnya adalah daripada pihak Umno sedangkan kepada pihak pembangkang ianya menjadi HARAM dan adakalanya dibatalkan pada saat-saat akhir. 

Pihak Kementerian Pengajian Tinggi sentiasa menegaskan bahawa para mahasiswa dan mahasiswi tidak dibenarkan untuk menunjangi mana-mana fahaman politik kepartian di dalam kampus supaya tidak mengganggu prestasi pembelajaran mereka tetapi semuanya adalah omongan kosong belaka kerana penceramah Umno dan ‘macai-macai’ Umno sentiasa diberi peluang untuk membuat program bersama para-para siswa dan siswi serta merekrut mereka untuk menjadi ahli Umno.

Oleh itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor meminta pihak pentadbiran UiTM supaya membatalkan program ceramah tesebut kerana sudah pasti akan menjadi medan untuk Umno meneruskan agenda politik sempit mereka untuk meracuni pemikiran generasi muda pelapis negara dengan penuh kebencian terhadap Pakatan Rakyat. Sepatutnya pihak pentadbiran UiTM perlu berlaku adil kepada semua pihak termasuk pihak pembangkang untuk membincangkan topik-topik yang relevan dengan keadaan iklim politik Malaysia supaya dapat membuka minda para mahasiswa dan mahasiswi kampus untuk melakukan penilaian mereka sendiri. Janganlah disekat keilmuan dan keintelektualan mereka.


USTAZ HASBULLAH MOHD RIDZWAN
KETUA PEMUDA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR

13 Disember 2011
Baca Seterusnya >>

SAR: Muhyiddin 'tampar' Mahathir

TAHUN akhirnya memimpin UMNO dan Perdana Menteri, Dr. Mahathir menyekat semua bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), kerana pada persepsinya SAR rata-rata menentang kerajaan Barisan Nasional dan ia menyediakan orang-orang yang akan menjadi PAS.
Demi melumpuhkan PAS, kalau boleh dihapuskan PAS, maka Sekolah Agama Rakyat itu perlu dihapuskan dulu.
Sikap  anti SARnya itu dinyatakannya dalam satu perhimpunan UMNO di PWTC.
Sesudah bersara dari Perdana Menteri beliau keluar UMNO kerana kecewa dengan pimpinan Tun Abdullah Badawi.
Selepas Pak Lah berundur Tan Sri Muhyiddin Yassin berusaha membawanya semula masuk UMNO. Tidak diketahui dia sudah UMNO  semula atau belum.
Tetapi Timbalan Perdana Menteri yang menjadi Menteri Pelajaran itu seperti telah menampar muka mantan Perdana Menteri. Apabila secara rasmi mengadakan peruntukan membantu semua Sekolah Agama Rakyat.
Hatta semua sekolah  di bawah Yayasan Islam Kelantan yang mendapat biaya dari kerajaan Kelantan itu pun turut diberinya bantuan.
Dalam kunjungan Muhyiddin ke Kelantan yang terakhir telah menyampaikan sendiri bantuan kepada SAR.
Apa yang dibuat oleh TPM itu adalah mencerminkan dasar UMNO terhadap SAR. Kalau pun tidak semua masa UMNO jadi pro SAR seperti yang berlaku di hujung pentadbiran Dr. Mahathir,  tetapi Menteri Pelajaran seolah-olah mempersetankan sikap anti SAR Mahathir itu.
Dr. Mahathair belum mati, sedikit demi sedikit dasarnya dirongkai oleh pemimpin-pemimpin UMNO selepasnya.
Al-Marhum Ustaz Fadzil Noor pernah mendoakan supaya Dr. Mahatahir dipanjangkan umur, supaya dia dapat menyaksikan kerosakan di muka bumi Malaysia gara-gara dasar dan tindakannya sebagai pemimin kerajaan dan UMNO.
Doa Al-Marhum itu seolah-olah terkabul. Dr. Mahathir sudah melihat, tindakannya menghapuskan pengajaran sains dan matematik dalam Bahasa Melayu, telah memberi kesan besar kepada negara. Pencapaian Bumiputera dalam bidang sains merosot.
Wujud pertembungan  antara pro dan anti pengajaran sains dan matametik dalam Bahas Melayu. Bercelaru antara ucapan Muhyidin tentang dasar bahasa penghantar dalam subjek itu dengan pelaksanaannya. Mungkin Muhyidin mati dulu sebelum isu itu dipullihkan sepenuhnya.
Ketika yang sama anti SAR Mahatahir itu telah tidak dipedulikan oleh Muhyiddin. Anti SAR itu justeru Mahathir terlalu takutkan PAS. Tiada rasa sayangnya kepada pembelajaran  Islam disebabkan ketakutannya yang tinggi terhadap PAS.
Dia sanggup kuburkan sekolah agama kerana tidak mahu melihat PAS dan menggantikan UMNO sekali pun  sekolah pengajian Islam itulah yang menyelamatkan Malaysia menjadi bekas umat Islam.
Islam hancur di Filipina selepas kedatangan Sepanyol. Tiada institusi pengajian Islam yang berkesan menyebabkan negara itu menjadi negara Katholik.
Islam kuat di Kelantan, Kedah, Perlis, Terengganu dan utara Perak berbanding dengan lain-lain negeri di Malaysia ialah disebabkan wujud sistem SAR lama sebelum merdeka.
Muhyiddin menyambung semangat Pak  Lah membantu semula SAR. Mungkin Pak Lah adalah cucu dan anak pengendali SAR. Muhyiddin pula anak guru yang mendidik Mat Indera. Ayahnya pengendali SAR juga. Sekali pun mereka dijangkiti unsur sekular tetapi jiwa Islam mereka lebih jelas dari Dr. Mahathir. Maka mereka mengambil sikap politik membantu SAR sesuai dengan apa yang datuk nenek mereka buat dulu.
Mereka tidak memikirkan apakah PAS dapat manfaat atas sikap mereka membantu SAR, tetapi SAR boleh diselamatkan. Insya Allah, PAS dapat faedah dari SAR yang kuat.
Yang Muhyiddin buat itu betul-betul menempelak sikap dan dasar Mahathir. Mahathir tentu sedar dasarnya dibakut sampahkan. Sikap Muhyidin itu adalah sikap UMNO sekarang. Mahahir sedang menyaksikannya betapa dasarnya dibakul sampahkan.
UMNO sudah menolak dasar Mahathir pada masa dia masih hidup. Kalau Mahathir rasa dasarnya betul, maka  dia tidak boleh berada  dalam UMNO lagi. Kalau masih mahu bersama  UMNO, ini bererti dia mengaku anti SARnya dulu adalah tidak betul.
Subky Latif
Baca Seterusnya >>

ISLAM DIDAHULUKAN, MELAYU BERSAMANYA


Print
Bukan Melayu didahulukan, Islam mengikutnya, kerana Islam ditegakkan Melayu selamat. Kalau Melayu ditegakkan di atas aqidah kebangsaannya, Melayu sesat, Islam terpinggir. Inilah kecuaian Umno sejak ditubuhkan sehingga kini. Kecintaan kepada keluarga, kaum dan bangsa adalah fitrah yang digalakkan oleh Islam, tetapi menjadikannya aqidah perjuangan adalah satu kesesatan. Rasulullah S.A.W memulakan perjuangan dengan keluarga dan kaumnya, tetapi dengan aqidah dan berpandukan Islam.
Rasulullah S.A.W. adalah ikutan yang dilantik oleh Allah, bukan dilantik melalui pilhanraya atau perhimpunan agung mana-mana parti. Apabila Rasulullah S.A.W. dilantik menjadi Rasul akhir zaman kepada seluruh alam, dipilih daripada kalangan bangsa arab qabilah Quraisy, paling jahil, miskin dan berada ditangah padang pasir paling gersang, tetapi menjadi paling sabar, berani dan paling lasak menghadapi cabaran kalau ditarbiyah. Bangsa arab seluruhnya berpecah dan berperang sesama sendiri. Semenanjung arab, tanah air mereka dijajah oleh kuasa besar dunia Parsi dan Rom. Pesoalannya apakah yang didahulukan oleh Rasulullah S.A.W? Sama ada memulakan perjuangan diatas semangat kebangsaan arab, satukan mereka terlebih dahulu diatas semangat kebangsaan itu, tegakkan perjuangan kemerdekaan menentang penjajah Parsi dan Rom, selepas itu Islam boleh tegak dengan sendiri besamanya. Atau mulakan dengan Islam, perkasakan bangsa arab dengan Islam yang sempurna, aqidah, syariat dan akhlak?
Ucapan pertama disampaikan kepada penduduk Makkah dengan arahan wahyu daripada Allah ialah, firman Allah bermaksud, "Wahai manusia Sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepada kamu semua, iaitu Allah yang mempunyai kerajaan langit dan bumi; tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia, yang menghidupkan dan mematikan. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, Nabi yang ummi yang beriman kepada Allah dan kepada kalimat-kalimat-Nya (kitab-kitab-Nya) dan ikutilah Dia, supaya kamu mendapat petunjuk" - Al A'raf:158
Bukan dengan seruan hidup arab Islam selamat ! Hanya bangsa Arab yang boleh menegakkan Islam! Macam slogan Umno, ”hidup Melayu!”. Ini semua tidak betul dan benar.
Tegasnya bahawa Rasulullah S.A.W memulakan perjuangan mengajak bangsa mengikut Islam, bagi memerdekakan diri daripada jahiliyah dalam diri sendiri terlebih dahulu dengan bangsanya mengikut Islam. Walaupun mendapat tentangan hebat daripada pemimpin kaum bangsa dan keluarganya sendiri, sehingga dihalau daripada tanah air tempat dilahirkannya (Makkah). Kemudian menggunakan kuasa pemerintahan Islam yang ditegakkan oleh kaumnya yang menerima Islam dengan beriman mengikutnya dengan sempurna dan mengumpul serta menyatukan mereka dengan Islam. Kemudian kembali semula ke Makkah untuk memerdekakannya daripada kuasa pemeritahan jahiliyah arab yang dipimpin oleh ayah mertuanya sendiri Abu Sufian bin Harb.
Allah mewafatkan Rasulullah S.A.W setelah Ajaran Islam disempurnakan secara wahyu serta cara beramalnya dinyatakan oleh Sunnah Rasulullah S.A.W. dan setelah menyampaikan mesej Islam secara bersurat yang dihantar kepada negara dan bangsa yang bukan arab. Ada yang menerima Islam, ada yang tidak menerima tetapi berdamai dan ada yang mengambil sikap permusuhan.
Sebelum wafat Rasulullah S.A.W. Allah menegaskan kepadanya secara wahyu kepada bangsa arab yang menganut Islam supaya berpandukan Islam, diantaranya Allah memberi amaran, "Jika kamu berpaling (daripada menegakkan Islam) niscaya dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini". Surah Muhammad:38
Khalifah Abu Bakar mengambil alih memimpin negara menentang bangsa arab yang murtad (berpaling tadah menentang Islam). Penyelewengan berlaku dengan bantuan penjajah Parsi dan Rom. Setelah Khalifah Abu Bakar berjaya mengalahkan bangsa arab yang murtad maka dimulakan dakwah mengajak kaum lain kepada Islam tanpa paksaan.
Dua kuasa besar dunia menentang secara ketenteraan kerana menganggap bangsa arab yang menganut Islam itu masih lemah saperti sebelum Islam. Tiba-tiba dua kuasa besar dunia ikut tumbang kerana jahiliyyahnya, walau pun mereka maju daripada segi kebendaannya, tetapi dibejati kezaliman dan maksiat. Khalifah Umar R.A. yang berjaya menjatuhkan dua kuasa besar dunia itu manyampaikan ucapannya ketika berada di Kota Suci Bait Al Maqdis, "Kita adalah bangsa yang diberi kemuliaan oleh Allah dengan Islam, sekiranya kita mencari kemuliaan yang lain daripada apa yang telah dikurnia Allah, nescaya kita akan ditimpa hukuman Allah menjadi bangsa yang hina".
Ketika bangsa Arab yang menganut Islam masih berpegang dengan ajaran Islam, mereka terus memimpin negara yang paling besar dalam sejarah, bersama masyarakat majmuk berbagai bangsa dan agama. Mereka mengislamkn bangsa lain tanpa paksaan dan mengislam ilmu serta kebijaksanaan daripada berbagai bangsa, sehingga melahirkan tamadun Islam yang paling hebat dalam sejarah manusia. Apabila bangsa Arab menjadi leka terhadap Islam, maka Allah menukarkan bangsa bukan arab yang menganut Islam dan berpadukan Islam serta menegakkannya. Bangsa lain mengambil alih pemerintahan telah melahirkan ilmuan Islam dan pemimpin negara. Manakala bangsa arab menjadi rakyat dibawah pemerintahan Islam, oleh para ulama dan pemimpin bukan berbangsa arab, saperti Kurdis, Turki, Bukhara dan lain-lain.
Bangsa Melayu di Asia Tenggara turut sama menjadi bangsa yang perkasa apabila mereka menganut Islam dan raja-rajanya memerintah dengan Islam. Bahasa Melayu berhuruf Al Quran bertamadun menjadi bahasa ilmu dirantau ini. Kedatangan penjajah yang mampu menguasai dunia Islam, termasuk dunia Melayu di rantau ini apabila mereka lemah berpegang dengan ajaran Islam. Cahaya Islam yang sedikit tidak boleh dipadamkan masih bersuluh membangkitkan perjuangan menentang penjajah. Walaupun penjajah asing sudah meninggalkan tanahair kita, tetapi kesan daripadanya masih wujud dengan tebal. Kita tidak dapat mengambalikan jati diri malainkan dengan kembali menjadikan Islam tertegak dihadapan kita yang menjadi panduan seluruh cara hidup beragama dan bermasyarakat. Ini saperti yang pernah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W dengan petunjuk Allah dan diperingatkan oleh Khalifah Umar bin Al Khattab R.A.
Mari kita menjadi bangsa yang insaf dengan muhasabah diri, bagaimana bangsa Arab yang berjumlah ratusan juta, di tengah kekayaan hasil minyak yang tidak terkira, dipermainkan oleh kuasa barat yang pernah menjajah mereka. Mereka tidak mampu berdepan dengan segelintir bangsa yahudi zionis yang diletakkan oleh penjajah bagi menjaga kepentingannya di Asia barat. Ini kerana mereka berpaksikan kebangsaan arab dan meminggirkan Islam di belakang mereka. Satu agenda penjajahan pemikiran yang sengaja dirancang bergitu rupa. Hari ini bangsa Arab mula sedar dan bangkit bersama Islam dengan memulakan kemenangan Islam secara aman memalalui pilihanraya yang adil setelah ditekan oleh pemimipin bangsa sendiri secara kuku besi.
Umno adalah pelakon yang sama memimpin negara yang dikatakan merdeka, dengan semangat hidup Melayu, Islam selamat. Nyata bahawa Melayu tidak selamat dengan cara Umno. Islam cara Umno tidak mampu memperkasakan Melayu, kerana Melayu didahulukan, Islam tidak memandunya kerana tidak djadikan panduan. Maka bangsa Melayu tidak mampu bersaing dengan kaum lain dalam masyarakat majmuk. Kita wajib menerima hakikat masyarakat majmuk yang diatur oleh penjajah ditanah air kita. Setelah mereka menjajah bangsa Melayu yang lebih dahulu yang bercampur dengan kaum pribumi berada ditanahair ini. Penjajah membawa kaum lain yang dijajah juga, untuk sama-sama diperhambakan untuk kepentingan penjajah barat. Bangsa Melayu dan penduduk asal yang lain terus dipinggir dikawasan luar bandar dengan keadaan terbiar dalam kemiskinan. Kaum Cina pula menjadi buruh di lombong-lombong dan sebahagiannya di bandar dan kaum India menjadi buruh di ladang-ladang. Semua kaum diperkudakan untuk kepentingan penjajah dan seterusnya diatur untuk dilagakan diantara satu sama lain, untuk terus diperintah atau menjaga kepentingan penjajah selepas merdeka.
Mengikut Islam bahawa masyarakat majmuk adalah satu adunan yang baik sekiranya dimanfaatkan dengan bijak, sekiranya wujud kedudukan yang seimbang dan saksama diantara satu sama lain. Kaum lain telah menerima hakikat bangsa Melayu yang beragama Islam adalah teras kepada negara dengan hak yang adil secara sama dengan kaum yang lain, kerana jumlah mereka lebih besar. Tiba-tiba kedudukan orang Melayu yang beragama Islam ketinggalan jauh dibelakang dari segi pendidikan, ekonomi, politik dan lain-lain. Ini menyebabkan rasa tidak puas hati terhadap kaum lain, dengan terpinggir secara nyata di Singapura, Pulau Pinang dan negeri-negeri lain di pantai barat dan Malaysia Timur. Semua negeri-negeri ini pada awalnya dipimpin oleh Umno yang bertemakan hidup Melayu mafhumnya tegaklah Islam.
Malangnya Umno menyalahkan pihak lain, khususnya PAS yang tidak bersama Umno sejak menentang penjajah dan cara mencapai kemerdekaan dan mengurus negara. Umno meletakkan Islam disamping atau dibelakang tanpa kuasa secara warisan penjajah yang merancang untuk melemahkan umat Islam mengikut kajian para orentalis. Akhirnya orang Melayu bukan sahaja terus dalam keadaan lemah, tidak mampu bersaing dengan kaum lain. Bukan sahaja ketinggalan dalam ekonomi dibumi sendiri, walaupun diberi tongkat hak istimewa Melayu dan bumiputera, bahkan ketinggalan dalam pendidikan dan kesadaran berpolitik. Pemimpin yang tidak boleh menjadi model Islam kepada bukan Islam dan tidak mampu memimpin kumpulannya dan bangsanya sendiri, apatah lagi negara, tetapi lebih berlagak mampu dengan mempertahan kuasa dengan apa sahaja, kerana dibejati penyakit zalim dan fasad. Zalim mengikut takrif Islam ialah meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya dalam segala bidang, seperti kehakiman, pentadbiran, ekonomi dan lain-lain aspek. Fasad pula ialah kemunkaran dalam segala aspek saperti rasuah dan segala maksiat terhadap Allah, diri sendiri dan masyarakat.
Pemimpin utama Umno sendiri sudah mengaku adanya penyakit yang kronik dalam diri parti Umno. Politik rasuah (wang) membarah dalam diri sendiri dan menyebarkannya kepada orang Melayu untuk mendapat sokongan, mengampu dan menipu sesama sendiri. Maka orang Melayu dalam bahaya bersama Umno. Ketinggalan orang Melayu dalam politik Singapura ditahun lima puluhan dan enam puluhan adalah dibawah pimpinan Umno. Tertinggalnya orang Melayu di Pulau Pinang adalah dibawah Umno juga. Umno menyelamatkan kedudukan dengan mengasak orang Melayu dengan kawasan pilihanraya campuran bagi memenangkan rakan kongsinya daripada kaum lain setelah parti itu kalah dikawasan mereka. Mereka menekan bangsa sendiri yang menegurnya dan tidak bersamanya, dengan menindas negeri Melayu yang tidak berpihak kepada Umno.
Tindakan menafikan hak royalti minyak terhadap Kelantan dan Terengganu suatu ketika dahulu serta melambatkan bayaran perkapita. Begitu juga dengan Kedah. Ini adalah contoh nyata Umno menindas negeri Melayu. Umno juga mengapi-apikan semangat perkauman Melayu sehingga tegang hubungan dengan kaum lain, seterusnya orang Melayu dilekakan dengan wang, media yang menipu dan melalaikan mereka. Ketika bangsa lain berpolitik secara matang dengan kefahaman merancang masa depan yang jauh. Namun orang Melayu berpolitik diajar oleh Umno untuk mencari peluang beberapa hari dimusim pilihanraya sehingga lupa menjadi mangsa setiap lima tahun sehingga lebih lima puluh tahun terus ketinggalan.
Ucapan berapi dalam perhimpunan Agung Umno baru-baru ini lebih banyak membedil diri sendiri, bukan sahaja ada yang menikam dari belakang bahkan ada yang berani menikam secara berhadapan. Walaupun pada zahirnya menyerang lawan dan kawan. Yang tidak faham bertepuk tangan syok sendiri sehingga membengkak tangan. Adapun yang faham pula berubah wajah kerana kebimbangan bahteranya menunggu karam ditebuk kelasi sendiri.
PAS berulangkali mengajak Umno bermuzakarah secara ilmu Islam dan adabnya bagi selamatkan umat dan negara dengan Islam, bukan berbincang untuk bersama memikul biawak hidup yang diternak oleh Umno. Mengajak kepada Islah sekadar kemampuan, kerana bukan cara menyelamatkan negara dengan mengapi-apikan semangat perkauman yang menegangkan hubungan diantara kaum dan agama. Caranya ialah dengan konsep adil untuk semua dan menjaga hak masing-masing secara adil, serta ruang demokrasi dengan batas-batas dan sempadannya yang sebenar secara ikhlas bukan secara menipu. PAS percaya Islam adalah hujah yang terkuat daripada Allah S.W.T kerana Islam adalah Rahmat Allah kepada seluruh alam.
Tulisan ini bukan menjaga tepi kain orang lain, tetapi hanya peringatan kepada mereka yang kainnya sudah parah terkoyak, sehingga menampakkan kecacatan yang memalukan.

 BY AKADEMI TARBIYAH DEWAN PEMUDA PAS PUSAT 




Baca Seterusnya >>

Sunday 11 December 2011

Negara Berkebajikan: PAS mahu rakyat jadi tuan

SHAH ALAM, 11 Dis: Konsep Negara Berkebajikan yang ditawarkan PAS adalah memperjuangkan hak rakyat di mana rakyat adalah tuan, manakala kerajaan pula hanya bertindak sebagai pemegang amanah kepada wang rakyat.

Bercakap sewaktu melancarkan buku 'Negara Berkebajikan: Tawaran PAS' di perkarangan Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini,  Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan konsep yang mahu dibawa PAS itu mengikut panduan yang ditetapkan dalam al-Quran.

"Kita ingin mengubah konsep sekarang yang mana kerajaan menjadikan rakyat sebagai bahan untuk diniagakan, segala sumber pendapatan negara diambil melalui rakyat mengikut cukai-cukai yang ditetapkan.

"Kerajaan adalah khadam kepada rakyat, pemimpin adalah pemegang amanah jadi kita mahu hak rakyat dikembalikan mengikut saluran yang betul," katanya.

Buku setebal 59 muka surat itu menggariskan tentang konsep, polisi dan agenda yang akan ditawarkan oleh parti itu bersama Pakatan Rakyat sekiranya diberi peluang mentadbir negara.

Dalam bahagian polisi-polisi umum, Negara Berkebajikan akan melihat dan menambahbaik polisi-polisi sedia ada termasuk dalam polisi politik, ekonomi dan sosial.

Dalam pada itu Abdul Hadi memberitahu pentadbiran kerajaan sekarang hanya berkonsepkan 'kekayaan negara berpusing kepada orang tertentu sahaja' sedangkan rakyat terus terseksa.

"Sepatutnya harta kekayaan negara disalurkan kepada rakyat selain digunakan untuk pembangunan negara, malah jika kerajaan ingin mencari sumber pendapatan maka cukai perlu dikenakan tetapi tidak semua rakyat perlu membayar cukai.

"Sebab itulah Pakatan Rakyat ingin memansuhkan terus tol kerana rakyat yang tidak sepatutnya dikenakan cukai juga turut terbeban pembayaran tol, inilah yang dijanjikan di dalam Buku Jingga serta konsep negara berkebajikan," sambungnya lagi.

Ahli Parlimen Marang itu juga menegaskan konsep negara berkebajikan ini juga akan menjadi menifesto pada pilihanraya yang akan datang dan ia selaras dengan kesepakatan di dalam Buku Jingga.

Tawar 10 agenda

Dalam buku itu juga, PAS memperincikan 10 agenda yang ditawarkan PAS yang menyentuh kerajaan beramanah, adil dan bersih, masyarakat penyayang, aman dan bersatu, serta ekonomi mampan, seimbang dan saksama.

Selain itu, Abdul Hadi yang menyentuh mengenai pendidikan berkualiti, perkhidmatan kesihatan yang cekap dan berkualiti, kebajikan langsung, menyeluruh dan mesra rakyat serta keluarga harmoni, bahagia dan bermoral.

Abdul Hadi yang juga ahli parlimen Marang turut menghuraikan mengenai belia dan pekerja produktif, kemudahan prasarana berkualiti serta pemeliharaan alam sekitar.

Buku ini juga merupakan penjelasan kepada buku pertama yang ditulis Abdul Hadi sendiri yang bertajuk "Konsep Asas Negara Berkebajikan" yang telah dilancar sebelum ini.

Kedua-dua buku tersebut adalah susulan daripada ucapan dasar yang dibentangkannya dalam Muktamar Tahunan PAS ke-57 Jun lalu yang bertemakan "Membangun Negara Berkebajikan".

"Mudah-mudahan ia akan jadi pemangkin kepada rakyat untuk menyokong PAS dan Pakatan Rakyat pada pilihanraya nanti.

"Jika rakyat menilai secara jelas negara kebajikan ini maka ia akan melancarkan laluan Pakatan Rakyat ke Putrajaya nanti," kata Abdul Hadi.
Baca Seterusnya >>

Contohi semangat 'Angry Birds', lawan kezaliman





KUALA LUMPUR, 11 Dis: Dewan Pemuda PAS Pusat menyeru seluruh rakyat negara ini mencontohi semangat juang burung-burung yang menentang pencuri dalam permainan Angry Birds.

Dalam satu kenyataan sempena ulangtahun kedua Angry Birds, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hasan menyifatkan Angry Birds sebagai permainan yang mengajar rakyat agar bangkit berjuang menghapuskan kezaliman.

"Slogan ‘Jangan Curi !!’ dalam permainan itu adalah simbol kemarahan rakyat terhadap empat pengkhianatan pemimpin terhadap rakyat di Malaysia.

"Ianya adalah penafian hak rakyat Kelantan terhadap royalti petroleum, penyelewengan Felda dan langkah penyenaraian Felda Global Ventures yang menggadai nasib peneroka, keraguan daftar pemilih oleh SPR sebagaimana didedahkan oleh Pemuda PAS dan kontroversi projek National Feedlot Centre bernilai RM250 juta sebagaimana dilapor Ketua Auditor Negara", katanya kepada Harakahdaily.

Sementara itu, Pengarah Institut Polisi Studi dewan itu, Mohd Syahir Sulaiman pula berkata, rakyat negara ini wajar mengambil semangat sama demi menentang budaya korupsi dan pecah amanah di kalangan pemimpin negara.

Angry Birds katanya memberi inspirasi perjuangan mempertahankan hak dengan semangat yang ditunjjukan secara kreatif dan penuh tekad berusaha untuk mendapatkan kembali telur mereka yang dicuri. 

"Pada setiap peringkat, Angry Birds perlu meningkatkan keupayaan untuk memecahkan tembok dan helah oleh si pencuri untuk berselindung. 

"Ini mengajar kita tiga perkara iaitu; rakyat perlu bangkit menentang kezaliman, pencuri akan ditentang dan pihak yang benar pasti akan mengalahkan pihak yang salah”," katanya.

Media sebelum ini melaporkan ‘Angry Birds’ adalah salah satu daripada carian Google paling popular di kalangan rakyat Malaysia, yang berjaya memecah rekod tertinggi di dalam sejarah permainan video dengan jumlah muat turun melebihi 500 juta, hasil idea permainan yang santai, interaktif, dan mempunyai makna tersendiri.
Baca Seterusnya >>

Saturday 10 December 2011

UMNO Taja Sembang Rakyat



UMNO sudah kantoi...
Video Sembang Rakyat yang sedang hangat di YouTube itu adalah tajaan UMNO.
Dengan pelbagai bukti-bukti telah dikeluarkan sebagai contoh jenis kamera yang digunakan, email, tempat dan lain-lain.
Saksikan video ini sehingga habis, anda pasti tahu...
Baca Seterusnya >>

Pilihan raya orang Islam setiap hari





KUALA LUMPUR, 10 Dis: Perjuangan PAS bukan semata-mata menentang Umno BN, tetapi yang lebih utama menentang ajaran sekular yang didukung parti itu.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, akibat memperjuangkan sekular, orang Umno tidak diingatkan mengenai kewajipan melawan hawa nafsu dan menolak pujuk rayu syaitan.

"Perjuangan PAS bukan perjuangan menentang Umno semata-mata tapi yang lebih besar mengajar manusia mengikat hawa nafsu.

"Pilihan raya bukan hanya lima tahun sekali, tapi orang Islam melakukan pilihan raya setiap hari, sepanjang masa.

"Umno tidak pernah didengarkan oleh pemimpin mereka untuk menjauhkan diri dari syaitan," kata beliau sewaktu menyampaikan ucaptama di Ijtimak Tarbawi Pilihan Raya di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar, hari ini.

Tok Guru Nik Aziz juga menegaskan, golongan sekular secara tidak sedar sudah menolak separuh daripada ajaran Islam apabila tidak mengutamakan perjuangan melawan syaitan.

"Mengelak diri daripada pujuk rayu syaitan tidak ada dalam ajaran sekular.

"Syaitan, neraka, tak ada dalam pengajian sekular. Oleh yang demikian pada orang yang sudah menjadi sekular, 50 peratus daripada pengajian Islam sudah hilang.

"Pengajian Islam termasuk perkara ghaib iaitu syurga, neraka, dosa, pahala, padang mahsyar. Semua ini tak ada dalam sekular, jadi tak pernah sebut, bila tak pernah sebut mereka lupa," kata beliau di hadapan kira-kira 1,000 ahli yang hadir.

Menurut Menteri Besar Kelantan itu juga, untuk memastikan manusia selamat di akhirat kelak, mereka wajib mengikut ajaran Islam yang sebenar, tanpa bercampur dengan ajaran barat yang lain.

"Sekular tak bawa manusia ke syurga. Yang hanya membawa manusia ke syurga ialah Islam.

"Umno atau golongan sekular kalau kita andaikan, seperti bas ekspres dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur. Tapi berhenti di Gua Musang, terliur tengok buah-buahan banyak, maka berhenti di situ sahaja, tak sampai ke Kuala Lumpur.

"Samalah dengan Umno, nak ke syurga tapi tersekat separuh jalan kerana terpedaya dengan segala pembangunan dan kekayaan di dunia," katanya.

Perjuangan PAS adalah jihad

Sementara itu, Tok Guru Nik Aziz mengingatkan ahli agar memanfaatkan sistem pilihan raya yang ada untuk memenangkan PAS agar dapat berjihad menegakkan Islam.

Ini kerana tegasnya, tanpa kuasa amat sukar untuk PAS membanteras segala kemungkaran di muka bumi, khususnya yang dilakukan orang Islam sendiri.

"Tanpa kuasa, kita boleh menyatakan haramnya judi, arak, hiburan melampau batas dan sebagainya, namun ia hanya akan terbatas di mimbar masjid dan helaian kitab sahaja tanpa ditegakkan dalan sistem pemerintahan," katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menyelar istilah jihad yang digunakan Umno dalam perhimpunan agungnya baru-baru ini.

Beliau berkata, iistilah jihad itu berasal daripada Al-Quran dan hanya sesuai digunakan untuk tujuan menegakkan Islam.

Justeru, beliau mempersoal jihad yang dimaksudkan Umno sedangkan parti itu terpalit dengan salah guna kuasa dan rasuah.

"Jihad ini istilah Al-Quran. Kerana apa mereka curi perkataan jihad dan tafsir mengikut kefahaman sendiri?

"Mereka sifatkan jihad untuk mempertahankan orang Melayu. Islam bukan untuk orang Melayu, bukan untuk Arab, bukan untuk Cina tapi untuk manusia," katanya.

Turut bersama, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan pimpinan tertinggi yang lain.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/6975-pilihan-raya-orang-islam-setiap-hari
Baca Seterusnya >>

Fenomena Gerhana Bulan Malam ini, Raikan Dengan Solat Sunat...



Fenomena Gerhana Bulan Malam ini, Raikan Dengan Solat Sunat...

Gerhana bulan penuh dengan pemandangan seakan-akan bola raksasa kuning tembaga terapung di angkasa selama lebih 40 minit dijangka berlaku pada malam ini (10 Disember 2011).

Unit Falak Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dalam satu kenyataan hari ini berharap orang ramai tidak melepaskan peluang menyaksikan fenomena itu dan melakukan solat sunat gerhana.

"Gerhana kali ini berlaku pada awal malam. Meriahkanlah fenomena ini dengan bacaan selawat dan tasbih serta solat sunat gerhana di masjid.

"Fenomena gerhana bulan penuh akan dapat disaksikan rakyat Malaysia dan rakyat di rantau Asia Tenggara pada 10 Disember, hari ini. Kita berpeluang menyaksikannya bermula dari pukul 7.34 malam sehingga 1.30 pagi Ahad.

Pegawai penyelidik Agensi Angkasa Negara Redzuan Tahar berkata gerhana dapat dilihat dengan mata kasar mulai 8.46 malam, manakala fasa umbra bermula dari 10.06 malam dan akan berlanjutan kira-kira 51 minit.

Ayuhlah sama-sama kita raikannya dengan solat sunat gerhana bulan. Rasullullah S.A.W bersabda :

Dari Abu Mas’ud Al Ansari beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya matahari dan rembulan (bulan) adalah dua di antara tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya (kalau sedang gerhana) oleh Allah digunakan untuk menakuti para hambaNya. Dan keduanya tidaklah gerhana lantaran kematian seseorang di antara manusia. Kerana itu, apabila kalian melihatnya, maka lakukanlah solat dan berdoalah kepada Allah sampai hal yang menakutkan itu hilang”

HUKUM SOLAT GERHANA
Sunat Muakkad – مؤكدة

CARA-CARA SOLAT
Dua rakaat seperti sembahyang sunat yang lain. Cuma bezanya sebagaimana yang masyhur ia mempunyai 2 kali ruku’ dan 2 kali qiam di dalam satu rakaat. Ianya sunat.

WAKTU
Waktu bagi solat gerhana matahari dan bulan ialah bermula dari ketika berlakunya gerhana sehinggalah selesai.

TEMPAT
Solat gerhana sunat dilakukan di masjid atau surau atau mana-mana tempat yang biasa dilakukan solat berjemaah.

ATURAN SOLAT GERHANA
1. Disunatkan mandi sebelum solat.
2. Bilal Menyeru :Assolatuljamiah!!
3. Berdiri lurus mengadap kiblat.
4. Berniat mengerjakan solat gerhana.

(a) Lafaz niat untuk gerhana bulan.
“ Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat makmum kerana Allah Ta’ala”.

(b) Lafaz niat untuk gerhana matahari
“ Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat makmum kerana Allah Ta’ala”.

5. Takbiratul Ihram. Doa Iftitah, Bacaan Al-Fatihah dan Surah.
6. Ruku’ serta tasbihnya dan qiam semula.
7. Baca al-Fatihah dan Surah.
8. Ruku’, I’tidal kemudian sujud 2 kali (seperti biasa).
9. Kemudian qiam semula untuk mengerjakan rakaat kedua.
10. Baca al-Fatihah dan Surah.
11. Ruku’ berserta tasbihnya dan qiam semula.
12. Baca al-Fatihah lagi dan Surah.
13. Kemudian ruku’ I’tidal dan sujud 2 kali, baca tasyahhud akhir dan salam.
14. Selepas itu dibacakan khutbah khas sempena gerhana. Dua kali khutbah (seperti khutbah Hari Raya).

INGATAN :
1. Makmum yang tertinggal ruku’ yang pertama samada dalam rakaat pertama atau rakaat kedua, adalah dikira tidak mendapat rakaat itu dan dia hendaklah menyempurnakan rakaat yang luput itu selepas Imam memberi salam.
2. Maklumat lanjut sila ruju’ kitab Sabilal Muhtadin, karangan Sheikh Mohd Arshad bin Abdullah Al-Banjari, (Juz. 2 Hal. 58-60).
3. Sembahyang sunat gerhana matahari, segala bacaannya dilakukan dengan suara perlahan-سر, manakala bagi sembahyang sunat gerhana bulan, segala bacaannya dilakukan dengan suara yang nyaring- جهر

1.cara solat-
http://www.youtube.com/watch?v=m-wa9HPNVoA
2.cara solat-
http://www.youtube.com/watch?v=hYwxfkdaAdw&feature=related

animasi gerhana bulan
http://www.youtube.com/watch?v=cCM3FPkP1e8&feature=related

-----------------------------------
inform tambahan:Gerhana bulan penuh malam ini... 

Penduduk di rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia sekali lagi dapat menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh malam ini.

Bulan yang beredar dengan had laju relatif 1,800 kilometer sejam akan mula memasuki zon bayang luar bumi pada kira-kira pukul 7.33 malam.

Bayang bumi akan mula menyentuh sisi sebelah kanan bulan tepat pukul 8.46 malam menandakan permulaan fasa gerhana bulan dan masa yang diambil oleh bayang gelap itu untuk menyapu keseluruhan muka bulan hanya 75 minit.

Selepas itu bulan akan mengalami gerhana penuh selama kira-kira 48 minit, kelihatan seperti sebiji bola raksasa berwarna kuning tembaga kerana kesan serakan cahaya dari kawasan bayang luar.

Peringkat pertengahan gerhana penuh itu dihitung berlaku pada pukul 10.32 malam ketika ketiga-tiga jasad samawi iaitu bulan, bumi dan matahari berada dalam kedudukan satu garisan dan satu satah.

Ia juga menandakan fasa purnama Muharam 1433 Hijrah yang sama dengan kemuncak gerhana penuh dan jangkamasa bulan melewati kawasan bayang dalam bumi ialah selama tiga jam 22 minit sehingga gerhana berakhir pukul 12.18 pagi.

Fenomena sama kali terakhir berlaku pada bulan Jun tahun lalu namun sedikit berbeza apabila ia dapat dilihat waktu siang berbanding malam pada malam ini.

Solat sunat gerhana bulan di negara ini pula boleh dilakukan sebaik sahaja bayang bumi mula kelihatan di permukaan bulan iaitu kira-kira pukul 8.46 malam
Baca Seterusnya >>
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Pemuda Pandan Copyright © 2009 Premium Blogger Dashboard Designed by SAER