"KEIMANAN, KEJUJURAN, SEMANGAT dan TINDAKAN merupakan ciri-ciri utama bagi pengertian 'kepemudaan'" (as-Syahid al-Imam Hasan al-Banna)

Tuesday 6 December 2011

Kes Mohd Sany isu Jais sudah selesai

KUALA LUMPUR, 6 Dis: Jika pengacara, pelakon, pelawak dan penulis lirik lagu terkenal, Bob Lokman akan dibicarakan di Mahkamah Syariah Kajang pada 14 Februari 2012 depan, Mohd Sany Hamzan pula di sebaliknya. 

Beliau yang juga Pengarah Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia tidak dikenakan tindakan lebih jauh, sebaliknya kes beliau telah pun selesai pada 11 Oktober lalu, sehari setelah beliau ditangkap pada malam 10 Oktober. 

Menurutnya, kes yang dikenakan ke atasnya hanyalah mengikut prosedur biasa yang tidak membolehkan beliau dikenakan tindakan lebih jauh. 

Katanya, pada dasarnya, beliau juga tidak seharusnya mengikuti prosedur tersebut, tetapi berlaku disebabkan tekanan politik oleh para pemimpin Umno BN ke atas Jais. 

"Saya sebenarnya macam Bob Lokman juga yang turut ditangkap oleh pihak Jais pada malam itu. Tetapi saya hadir ke pejabat agama seperti yang diarahkan," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini. 

Mohd Sany dan Bob Lokman ditahan oleh Jais berhubung satu program ceramah agama di Masjid Kampung Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor pada malam 10 Oktober lalu. 

Beliau ditahan bagi pihak penganjur majlis ceramah itu, manakala Bob Lokman ditahan kerana dipercayai atas alasan menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah setelah beliau selesai menyampaikan ceramah selepas solat Maghrib di hadapan kira-kira 70 jemaah di masjid itu. 

Mereka dibawa ke Balai Polis Batu 18 di Hulu Langat dan dilepaskan kemudiannya. Ketika insiden itu, kira-kira 25 penguatkuasa Jais, pihak polis dengan 2 buah kereta, Kadi Hulu Langat turut hadir bagi tujuan itu.

Kedua-dua mereka diminta hadir ke Pejabat Agama Daerah Hulu Langat sebelum tengah hari 11 Oktober lalu bagi memberikan kenyataan.

Mohd Sany mengambil keputusan hadir ke Pejabat Agama Daerah Hulu Langat, Kajang seperti yang diarahkan, manakala Bob mengambil keputusan sebaliknya.

Menurut Mohd Sany, sebaik hadir ke pejabat agama tersebut, beliau terpaksa menghabiskan masa selama sekitar 40 minit untuk memberikan keterangan kepada pegawai penguatkuasa Jais. 

"Saya ditemani oleh seorang lagi penceramah agama undangan kami pada malam itu, Ustaz Fakhrulrozi Mokhtar. Soalan-soalan yang dikemukakan kepada saya sememangnya berkisar kepada penganjuran program itu, tetapi banyak mengenai Bob Lokman," katanya. 

Beliau mengakui kenyataan yang diberikan oleh beliau kepada pihak Jais mengenai Bob adalah realiti tentang ceramah Bob sendiri yang lebih kepada pengkisahan mengenai dirinya sendiri sejak kecil hingga sekarang setelah keluar dari dunia glamournya. 

"Selepas itu, tiada lagi kes mengenai saya bersabit tangkapan itu. Setelah saya sendiri memberikan kerjasama kepada pihak Jais termasuk hadir ke Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat, Kajang pada 11 Oktober lalu seperti yang diarahkan, kes saya pun terus ditutup.

"Saya bersyukur dengan penutupan kes saya itu. Tetapi saya memang boleh rumuskan, di pihak Jais sebenarnya tak ada apa-apa pun. Mereka tak akan tangkap pun saya kerana ceramah itu, melainkan kerana tekanan politik para pemimpin Umno BN ke atas Jais. 

"Kejadian seperti itu tak sepatutnya berlaku. Tapi itulah yang menyedihkan kita dengan keadaan di negara kita sejak dulu," ujar beliau.


sumber

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Pemuda Pandan Copyright © 2009 Premium Blogger Dashboard Designed by SAER