"KEIMANAN, KEJUJURAN, SEMANGAT dan TINDAKAN merupakan ciri-ciri utama bagi pengertian 'kepemudaan'" (as-Syahid al-Imam Hasan al-Banna)

Thursday 8 December 2011

SETELAH PUAS MENGUTUK, MAHU AJAK PAS ‘BERKAHWIN’ PULA?



Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) menyelar tindakan Utusan Malaysia yang cuba melaga-lagakan perpaduan dan ukhwah antara kepemimpinan PAS dengan memainkan isu ‘perkahwinan’ antara PAS dengan UMNO. Bagi DPP Malaysia, seakan ada jarum halus yang mahu menyucuk perpaduan di dalam PAS dengan menjadikan pemimpin tertentu sebagai ‘kambing hitam’ bagi menjayakan agenda tersebut.
DPP Malaysia merasakan editor kanan Utusan Malaysia, Datuk Zaini Hassan seolah-olah kekeringan idea sehingga cuba memainkan api permusuhan antara pemimpin PAS agar mereka bertelagah dan berprasangka buruk antara satu sama lain. Isu perpaduan antara PAS-UMNO telah lama dikuburkan oleh pemimpin dan ahli PAS dan sepakat mahu melupakan isu itu. DPP Malaysia menasihatkan sebaiknya Utusan Malaysia mencari isu yang lebih baik dan bermanfaat kepada masyarakat dengan tidak masuk campur urusan dalaman parti-parti politik. Tindakan Utusan ini menghilangkan kredibilitnya sebagai akhbar nasional dan dilihat oleh rakyat sebagai akhbar yang hanya menurut perintah individu tertentu yang berkepentingan.
DPP Malaysia menjelaskan, bahawa PAS tidak sudi ‘berkahwin’ dengan UMNO yang hanya tahu memperalatkan Islam demi survival politik mereka. Umat Islam masih menyimpan kemarahan ekoran keceluparan Presiden MCA yang mempertikai hukum Islam dalam Forum Hudud yang baru dilangsungkan beberapa hari lalu di Wisma MCA. Malah wakil UMNO turut sama mempertikai hukum Islam dengan pelbagai persepsi yang negatif terhadap hukum Islam itu.
Rakyat pula masih tidak boleh melupakan bagaimana tindakan rakus pemimpin UMNO-BN meluluskan Akta Perhimpunan Aman yang menyekat kebebasan rakyat bersuara dan berhimpun, Akta Pekerja yang menindas golongan pekerja dan Akta Perbadanan Kampung Baru yang meminggirkan nasib orang Melayu di Kuala Lumpur.Bagaimana dalam keadan begini, UMNO masih mahu berbaik dengan PAS?  Tangan kanan mahu berjabat, tangan kiri pula menikam perut.
Perhimpunan Agung UMNO 2011 pula dijadikan medan menghentam PAS dan Pakatan Rakyat sesuka hati. Seolah-olah PAS dan Pakatan Rakyat adalah parti yang penuh noda dan dosa yang perlu dibuang oleh seluruh rakyat Malaysia. Habis seluruh media dipergunakan bagi membuat liputan langsung dan mengutip setiap patah perkataan yang diucapkan oleh pemimpin UMNO yang memburukkan PAS dan Pakatan Rakyat. Dalam keadaan demikian, mahu disuruh PAS berbaik dengan UMNO pula?
DPP Malaysia menegaskan PAS akan tetap kekal bersama Pakatan Rakyat melakar perubahan bersama dengan rakyat Malaysia dalam PRU ke 13. Usah lagi bermimpi untuk ‘berkahwin’ dengan PAS, kerana PAS tidak ingin bersahabat dengan UMNO yang semakin tenat dimamah usia!

Disediakan oleh;
RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Pemuda Pandan Copyright © 2009 Premium Blogger Dashboard Designed by SAER